BIDANG PEMBELAJARAN 1
NILAI BERKAITAN DENGAN PERKEMBANGAN DIRI
Pembentukan dan pengukuhan peribadi mulia berlandaskan nilai-nilai moral dan kerohanian, selaras dengan norma masyarakat Malaysia ke arah memperkukuh kesedaran hati nurani seseorang insan.
1.1 Kepercayaan kepada Tuhan
Keyakinan wujudnya Tuhan sebagai pencipta alam dan mematuhi segala suruhan Nya berlandaskan pegangan agama masing-masing selaras dengan prinsip Rukun Negara.
1.2 Kebersihan Fizikal dan Mental
Kebersihan dan kesihatan diri serta pemikiran yang sihat dan positif dalam
setiap perlakuan.
1.3 Harga Diri
Keupayaan dan keyakinan diri agar mampu memulia dan menjaga maruah diri dalam kehidupan.
1.4 Kerajinan
Usaha yang berterusan penuh dengan semangat ketekunan, kecekalan,
kegigihan, dedikasi dan berdaya maju dalam melakukan sesuatu perkara.
1.5 Hemah Tinggi
Beradab sopan dan berbudi pekerti mulia dalam pergaulan seharian.
1.6 Kasih Sayang
Kepekaan dan perasaan cinta yang mendalam serta berkekalan yang lahir
daripada hati yang ikhlas.
1.7 Kesederhanaan
Bersikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan atau perlakuan tanpa mengabaikan kepentingan diri dan orang lain.
1.8 Kejujuran
Kewajipan bercakap benar, bersikap amanah dan ikhlas dalam setiap perlakuan.
1.9 Baik Hati
Kepekaan terhadap perasaan dan kebajikan diri sendiri dan orang lain
dengan memberi bantuan dan sokongan moral secara tulus ikhlas.
1.10 Berterima Kasih
Perasaan dan perlakuan untuk menunjukkan pengiktirafan dan penghargaan
terhadap sesuatu jasa, sumbangan atau pemberian.
BIDANG PEMBELAJARAN 2
NILAI BERKAITAN DENGAN DIRI DAN KELUARGA
Kewajipan dan tanggungjawab diri dalam menghormati dan menjaga maruah setiap
anggota keluarga demi kebahagiaan dan keharmonian hidup bersama.
2.1 Kasih Sayang terhadap Keluarga
Perasaan cinta dan sayang yang mendalam serta berkekalan terhadap keluarga demi melahirkan keluarga bahagia.
2.2 Hormat dan Taat kepada Anggota Keluarga Memuliakan setiap anggota keluarga dengan berinteraksi dan memberi layanan secara bersopan untuk mewujudkan keluarga yang harmoni.
2.3 Tanggungjawab terhadap Keluarga
Kewajipan yang harus dilaksanakan oleh setiap individu terhadap keluarga untuk melahirkan keluarga bahagia, meningkatkan imej dan menjaga maruah keluarga.
BIDANG PEMBELAJARAN 3
NILAI BERKAITAN DENGAN DIRI DAN MASYARAKAT
Peranan dan tanggungjawab diri sebagai angota masyarakat yang menghayati
kepentingan hidup bersama bagi mengekalkan keharmonian dalam masyarakat.
3.1 Tanggungjawab terhadap Masyarakat
Kesanggupan memikul serta melaksanakan tugas dan kewajipan dengan
sempurna sebagai anggota masyarakat.
3.2 Toleransi dalam Masyarakat
Kesanggupan bertolak ansur, sabar dan mengawal diri bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham demi kesejahteraan hidup.
3.3 Semangat Bermasyarakat
Kesediaan melakukan sesuatu dengan semangat kekitaan untuk kepentingan bersama demi keharmonian hidup bermasyarakat.
3.4 Peka terhadap Isu-isu Sosial
Bertanggungjawab dan prihatin terhadap masalah dan isu semasa yang berlaku dalam masyarakat dan berusaha menyelesaikannya.
BIDANG PEMBELAJARAN 4
NILAI BERKAITAN DENGAN DIRI DAN ALAM SEKITAR
Peka dan prihatin terhadap isu-isu alam sekitar serta melibatkan diri secara positif
dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
4.1 Kebersihan dan Keindahan Persekitaran
Pemeliharaan dan pemuliharaan persekitaran agar sentiasa bersih dan ceria
demi kesejahteraan hidup.
4.2 Menyayangi Alam Sekitar
Mencintai dan menghargai alam sekitar demi mengekalkan keharmonian hidup.
4.3 Peka terhadap Isu Alam Sekitar
Prihatin terhadap persoalan yang berkaitan dengan alam sekitar dan berusaha menyelesaikannya.
BIDANG PEMBELAJARAN 5
NILAI BERKAITAN DENGAN DIRI DAN NEGARA
Peranan dan tanggungjawab setiap warganegara mentaati, mematuhi dan setia kepada negara serta patuh kepada peraturan dan undang-undang untuk kesejahteraan dan keharmonian negara berdasarkan prinsip Rukun Negara.
5.1 Hormat dan Setia kepada Pemimpin, Raja dan Negara
Hormat dan kepatuhan yang berkekalan kepada pemimpin dan raja serta
setia kepada negara.
5.2 Patuh kepada Peraturan dan Undang-Undang Menerima dan mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan sebagai amalan hidup.
5.3 Cinta akan Negara
Perasaan sayang dan bangga kepada negara serta meletakkan kepentingan
negara melebihi kepentingan diri.
5.4 Keamanan dan Keharmonian Kedamaian dan perpaduan yang berkekalan dan berterusan di kalangan rakyat Malaysia serta masyarakat global.
Dalam merancang dan melaksanakan kurikulum ini, tumpuan perlu diberi kepada pengembangan dan penguasaan kemahiran berfikir dan kemahiran belajar bagi membolehkan murid membuat keputusan dan menyelesaikan masalah secara rasional dalam
menghadapi cabaran hidup yang
semakin kompleks. Kepelbagaian kecerdasan murid perlu diambil kira bagi memperkukuh dan memperkaya pengalaman pembelajaran mereka dalam usaha membentuk manusia yang peka kepada isu atau permasalahan yang berlaku dan mampu membuat ramalan, menjangka akibat serta mengendalikannya ke arah keharmonian dan kecemerlangan hidup. Di samping itu, kemahiran menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi perlu dikuasai oleh murid supaya mereka menjadi generasi yang celik teknologi serta dapat memanfaatkannya dengan penuh tanggungjawab demi kesejahteraan hidup bersama.
Langgan:
Catatan (Atom)