KLIP PAPARAN IKLAN INI UNTUK ANDA BELAJAR MEMBUAT DUIT SECARA ONLINE

Pengenalan Pendidikan Moral

Pendidikan Moral ialah satu program yang mendidik murid supaya menjadi insan yang bermoral atau berakhlak mulia dengan menekankan aspek perkembangan pemikiran moral, perasaan moral dan tingkah laku moral.

Pendidikan Moral di sekolah rendah memberi tumpuan kepada usaha memupuk kekuatan kerohanian dan kemoralan murid melalui penghayatan dan amalan nilai- nilai murni masyarakat Malaysia yang terdapat dalam agama, tradisi dan adat resam pelbagai kaum di negara ini. Dengan itu murid dapat membina satu panduan hidup yang membolehkan mereka menjadi insan yang bermoral. Ini membolehkan mereka menjadi individu yang bertanggungjawab moral dan sosial terhadap segala keputusan dan tindakan yang dilakukan.

Beberapa prinsip utama telah dikenal pasti sebagai panduan dalam melahirkan insan
yang menyeluruh dari segi jasmani, intelek, emosi, rohani dan sosial.

Prinsip-prinsip itu adalah:
n Bertanggungjawab pada diri, keluarga dan orang lain;
n Berpegang teguh pada ajaran agama;
n Prihatin kepada alam sekitar;
n Mengekalkan keamanan dan keharmonian hidup;
n Bersemangat patriotik;
n Menghormati hak asasi manusia; dan
n Mengamalkan prinsip demokrasi dalam kehidupan.

Pemilihan prinsip-prinsip di atas dilakukan untuk merealisasikan semangat dan hasrat yang terkandung dalam Rukun Negara, Wawasan 2020 dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebagai sebuah negara yang sedang melangkah ke arah status negara maju, kita perlu membina masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, iaitu sebuah masyarakat bersatu padu yang mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang kukuh dan bersikap toleransi.



Untuk membolehkan murid memahami, menghayati serta mengamalkan prinsip- prinsip tersebut sebanyak lima bidang pembelajaran telah dikenal pasti dan nilai-nilai moral disampaikan menerusi bidang pembelajaran tersebut.

Selain aspek kerohanian dan kemanusiaan, bidang pembelajaran itu juga menekankan aspek kemasyarakatan dan kebudayaan. Bidang pembelajaran tersebut adalah seperti berikut :

1. Nilai berkaitan dengan Perkembangan Diri
2. Nilai berkaitan dengan Diri dan Keluarga
3. Nilai berkaitan dengan Diri dan Masyarakat
4. Nilai berkaitan dengan Diri dan Alam Sekitar
5. Nilai berkaitan dengan Diri dan Negara

Pendidikan Moral juga memberi peluang kepada murid menguasai kemahiran- kemahiran tertentu seperti kemahiran generik, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, kemahiran menyelesaikan konflik dan kemahiran sosial. Penguasaan kemahiran-kemahiran ini juga akan menyediakan murid menghadapi dunia teknologi maklumat dan komunikasi dan cabaran alaf baru dengan penuh keyakinan dan bertanggungjawab sosial dan moral.

Penguasaan kemahiran ini juga akan membantu pembinaan daya tahan dan kebolehan menghadapi segala tekanan dan cabaran hidup di kalangan murid.

Para murid juga digalakkan mencari dan memperoleh sumber-sumber maklumat melalui teknologi maklumat dan komunikasi seperti Internet, CD-Rom, e-mail dan sidang telekomunikasi. Aktiviti seperti ini dapat berfungsi sebagai perangsang dan pemangkin kepada kewujudan masyarakat Malaysia yang celek teknologi.

MATLAMAT

Kurikulum Pendidikan Moral bermatlamat membentuk insan berakhlak mulia, bertanggungjawab dan boleh menyumbang ke arah keharmonian dan kestabilan negara serta masyarakat global.

OBJEKTIF

Kurikulum Pendidikan Moral membolehkan murid:
1. Memahami dan menghayati nilai-nilai murni masyarakat Malaysia;
2. Meningkatkan amalan budi pekerti mulia;
3. Menyedari dan menerima kepentingan tanggungjawab moral dan sosial bagi mengekalkan kesejahteraan hidup dalam perhubungan diri dengan keluarga, masyarakat, negara serta alam sekitar; dan
4. Mengembangkan pemikiran moral, perasaan moral dan amalan moral dalam membuat sesuatu pertimbangan dan keputusan yang selaras dengan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia.

ORGANISASI KURIKULUM

Kurikulum Pendidikan Moral sekolah rendah mengandungi lima Bidang Pembelajaran yang menjadi wahana untuk menyampaikan nilai-nilai murni di kalangan murid. Bagi membolehkan nilai-nilai murni dipupuk secara berterusan ke dalam diri murid, bidang pembelajaran dan nilai yang sama diajar di setiap tahun iaitu dari Tahun 1 hingga Tahun 6. Walaupun bidang pembelajaran dan nilai itu sama, skop dan penekanan isi pelajaran adalah berbeza kerana isu-isu moral yang dikemukakan semakin kompleks dan mendalam selaras dengan tahap keperluan dan kematangan murid.